Perempuan itu berbaju kardigan biru. Nipis. Didalamnya ada baju seakan singlet. Tetapi kainnya lebih tebal. Warnanya putih. Berseluar jeans season, tapi bukan dari jenama yang Adi kenal. Yang paling mencuri perhatian ialah beg tangannya macam yang minah-minah melayu kebanyakkan pakai. Itu yang unik, sebab kali ini bukan perempuan biasa. Kali ini perempuan oversea. Kaukasia.
Adi hendak senyum, tapi tak jadi. Gadis Kaukasia itu lalu didepannya, Adi langsung buat bodoh. Bimbang kalau-kalau senyumannya nampak seakan mahu menggoda ala-ala mat rempit. Terus direject pula nanti. Adi bukan mat rempit dan tak ingin dianggap begitu. Sampaikan senyum pun Adi ambil kira. Tak pasti samada langkah Adi itu langkah yang bijak atau tandanya Adi kaver hensem. Adi rilek. Dari belakang Adi nampak sekumpulan remaja cina memanggil-manggil gadis Kaukasia itu. Tak jelas. Adi hampa. Ingin juga dia tahu siapa nama gadis itu. Dengan rambut kuning keemasan. Anak mata biru jernih dan berbibir sedikit merah jambu. Adi mengambil jalan mudah dengan menamakan gadis itu Natalya. Entah dari mana nama itu boleh muncul. Rasanya dalam dua minggu lepas, Adi ada menonton filem The Avengers. Berkenan sangat Adi dengan Scarlett Johansson yang membawakan watak Black Widow itu. Dalam filem itu nama penuh Black Widow, Natalya. Natalya Romanoff. Nama Russia, tapi yang ini kelihatannya macam datang dari negara Long Live The Queen atau negara kelahiran Nicole Kidman.
"Mungkin nama dia Natalya kot"
Sesingkat itu Adi membuat keputusan. Natalya nama diberi. Adi baca gerak geri Natalya dan sekumpulan amoi itu. Nampak mesra. Mungkin kawan. Natalya nampak seakan-akan cuba membiasakan diri dengan suasana persekitaran. Jadi Adi mengagak, mungkin Natalya datang bercuti ke Malaysia dan menumpang tidur di rumah salah seorang amoi itu.
"Mungkin sahabat di Facebook"
Adi cuba bermain dengan segala pemboleh ubah yang terdapat di fikirannya sekarang. Menyesal pula rasanya kerana tidak mempunyai kawan dari luar negara. Untung-untung dapat yang cantik boleh datang menumpang di rumah Adi bila berkunjung ke Malaysia. Angan Adi makin menjauh.
Bas akan bergerak dalam masa lima minit. Semua penumpang kelihatan bergegas naik. Bimbang ditinggal bas. Jarak hentian rehat ke destinasi ada dalam seratus kilometer lebih. Penat juga mahu menapak. Lagipun tidak pernah dibuat orang menapak dari Temerloh ke Kuala Lumpur. Adi membiarkan Natalya naik dulu. Kalau Adi naik dulu, ada kemungkinan Natalya tidak perasankannya kerana seat Adi jauh di belakang. Seorang demi seorang penumpang naik. Adi pun naik dengan muka kontrol hensem. Kali ini dia hampir pasti, mukanya macam John Abraham dalam cerita Dhoom. Adi konfiden.
Tiga seat dari depan, sebelah kiri. Itu seat Natalya. Adi memberikan pandangan paling meyakinkan yang boleh Adi bagi pada seorang perempuan. Adi tahu, kali ini perempuan Kaukasia. Mungkin standardnya lebih tinggi. Takkan dengan renungan macam tu pun boleh sangkut. Tapi Adi cuba. Mana tahu rezekinya. Laluan tengah bas itu dimanfaatkan Adi sebaik mungkin. Dapatlah dalam 3 saat dia melintas di tepi Natalya. Itu sudah cukup. Adi kembali duduk di seat. Hatinya puas. Kalau hendak dilihatkan dari segi pencapaian, skill Adi tadi tidaklah kemana sangat. Setakat senyum tiga saat dan berlalu pergi. Driver bas ekspress yang Adi naik pun boleh buat. Tapi benarlah kata orang, kepuasan itu subjektif. Kalau dengan senyuman tiga saat tadi boleh buat Adi bahagia, biarlah Adi dengan Natalya ciptaannya.
Ada dalam dua tiga orang gadis melayu yang boleh dikira boleh tahan di belakang seat Adi, tapi kali ini Adi rasakan sesuatu bila terpandang Natalya. Untuk rekod, Adi tak pernah berminat pun dengan gadis-gadis Kaukasia yang datang melancong ke Malaysia. Badan besar lah, hidung tinggi sangatlah, bintik-bintik kat mukalah, ada ruamlah. Tapi tidak Natalya. Kali ini dia sangat-sangat berminat.
Bas mula bergerak. Adi menyelak langsir untuk melihat ke luar tingkap. Mana tahu ada pemandangan menarik. Hampa, yang ada cuma jalan raya dan pokok-pokok menghijau. Itu bukan hiburan. Tiba- tiba Adi terasa dia diperhatikan. Dialihkan pandangannya dari luar tingkap ke dalam bas. Tepat ke tiga seat di depan sebelah kiri. Mata biru jernih dan bibir sedikit merah jambu itu memandang dan senyum kepadanya.
"Natalya!"
Adi menjerit dalam hati. Kalau tadi dia senyum pada Natalya selama tiga saat. Tadi, senyumannya berbalas tapi cuma selama satu saat sebelum Natalya mengalih kembali pandangannya ke depan dan tertawa kecil. Ketawa dengan amoi disebelahnya.
" Aku senyum tiga saat, dia senyum satu saat, kira okeylah!"
Adi memujuk hati dengan cara paling selamat. Seronok bukan main. Sambil bas bergerak menuju destinasi, Adi berfikir-fikir bagaimana caranya dia mahu menegur Natalya sesudah mereka turun nanti. Adi nekad, ingin memberikan business cardnya pada Natalya.
" Miss, would you have this?"
Ayat paling tak obvious dan paling tak mengada-mengada yang Adi boleh fikirkan jika dia menghulurkan kad bisnesnya nanti. Adi menanti dengan penuh debar. Lagi dua jam ('',)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan